My Blog List

Tuesday 17 November 2015

RAHSIA HIDAYAH ALLAH

" Jangan pandang hina pada orang yang sedang lalai, jauh dari agama. Siapa tahu kelak dia balik kepada Islam dan menjadi lebih elok daripada kita."
" Jangan pandang hina orang yang bergelumang dengan maksiat. Siapa tahu kita yang sering solat 5 waktu di surau, masjid bagaimana akhir usia kita nanti."

"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)." (Al-Qasas 28:56)
 
Teruslah kita berusaha dalam mencari hidayah Allah tanpa rasa jemu dan sentiasalah berlapang dada dalam semua perkara.

Sunday 15 November 2015

TOLAK AMALAN RIBA DEMI MENJADI MUKMIN SEJATI



TOLAK AMALAN RIBA DEMI MENJADI MUKMIN SEJATI


Pada zaman globalisasi kini semua negara di dunia ini telah meningkatkan persaingan dalam memastikan mereka sentiasa berada di hadapan berbanding negara-negara lain. Matlamat utama yang menjadi perhatian negara-negara maju adalah dengan menguasai teknologi dan juga ekonomi. Perkara ini terbukti apabila negara-negara kuasa besar kini sangat mementingkan perkembangan teknologi dan penguasaan ekonomi dapat melebarkan kuasa mereka dan mengawal negara-negara yang sedang membangun. Sebagai contoh negara-negara kuasa besar kini adalah terdiri daripada Amerika, China dan Rusia yang bersaing untuk menjadi negara yang paling berkuasa (Utusan Malaysia, 13/01/2014). Namun begitu, faktor peningkatan ekonomi dalam sesebuah negara turut menjadi penyumbang kekuatan dan kedudukan sesebuah negara itu. Sistem ekonomi yang kukuh dan lebih sistematik merupakan panduan bagaimana sesebuah negara itu menguruskan harta dan kewangan dengan lebih efisien bagi mengatasi inflasi.

Sebelum perbincangan yang lebih, lanjut kita cuba mengenali apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan riba? Menurut karya Firdaus Shahidin (2013) mendefinisikan riba dari segi bahasa yang membawa maksud meningkat, bertambah ataupun berganda. Dari segi istilah syarak pula membawa maksud sesuatu penambahan kepada hutang yang telah diberikan dan juga penambahan kepada pertukaran barang ribawi. Penduduk di Malaysia kini mudah mengenali riba dengan istilah-istilah seperti bunga, faedah dan juga interest. Penggunaan istilah seperti ini mempengaruhi mereka kerana istilah ini menggambarkan sesuatu yang indah dan baik. Namun pada hakikatnya istilah ini memberikan maksud yang lebih buruk dan jijik di sisi Allah SWT terutamanya bagi orang Islam.

Dari segi bahasa riba bermaksud lebihan, pertambahan dan perkembangan. Firman Allah dalam Surah Ar-Rum ayat 39 yang bermaksud:

“Apa jua pemberian atau hadiah yang kamu berikan (untuk mendapatkan sesuatu yang lebih banyak daripada yang diberikan itu), supaya ia bertambah dalam harta manusia, maka ia tidak akan bertambah di sisi Allah (dan tidak akan diberikan pahala oleh-Nya).”                                                                                                   
                                                                                                          (Surah Ar-Rum:39)

Menurut istilah para ulamak, riba merupakan kontrak yang dimeterai sebagai pertukaran barangan tertentu tetapi pada ketika sesuatu kontrak itu dimeterai pertukaran ini tidak diketahui kesamarataan menurut ukuran syarak ataupun sesuatu penyerahan salah satu atau kedua-dua barangan tersebut dilewatkan.

Dengan ini jelaslah bahawa riba merupakan suatu isu yang besar pada masa kini dan memberikan kesan yang buruk dalam melahirkan mukmin yang sejati. Kefahaman yang jelas tentang riba dan kesan yang buruk kepada mukmin di dunia ini perlulah diberikan perhatian yang serius dalam semua lapisan masyarakat Muslim terutamanya tanpa mengira umur pangkat ataupun darjat dalam terus memelihara kesucian agama Islam. Dengan desakan pertumbuhan dan persaingan ekonomi secara langsung turut melibatkan amalan riba ini terus diamalkan tanpa ada perasaan takut kepada perintah Allah. Allah telah melarang sekeras-kerasnya dalam Al-Quran yang merupakan panduan setiap orang Islam di dunia ini agar menjadi mukmin yang sejati. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 278 hingga 279 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang), jika kamu orang-orang yang beriman. Jika kamu tidak melakukan (perintah ini), maka ketahuilah (bahawa kamu akan menghadapi) peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya.”
                                                                                  (Surah al-Baqarah:278-279)

Larangan Allah terhadap amalan riba telah jelas melalui surah al-Baqarah yang menyeru umat manusia supaya beriman dan bertakwa kepada Allah dengan meninggalkan amalan-amalan yang berkaitan dengan riba akan melahirkan mukmin yang sejati dan taat kepada perintah Allah. Allah juga telah menegaskan bahawa sesiapa di kalangan hambanya yang mengamalkan riba akan diisytiharkan berperang dengan Allah dan rasul. Oleh itu, dalam memastikan bahawa mukmin sejati dapat dilahirkan adalah dengan memberikan penjelasan terhadap riba dan kesan yang buruk perlulah diberikan perhatian sewajarnya. Mukmin sejati merupakan khalifah di muka bumi ini yang telah dipilih oleh Allah bagi menjaga dunia dan beribadat kepadanya.

Dalam kehidupan seharian kita pelbagai masalah sering berlaku dan perlu dihadapi demi menjadi mukmin yang sejati. Jika dilihat kepada kesan riba yang sering berlaku dalam kehidupan umat Islam pada masa kini adalah kerana demi kepentingan pembangunan manusia yang sentiasa mengejar pembaharuan tanpa meletakan Islam sebagai teras pegangan dalam kehidupan. Pada masa kini, umat Islam telah banyak terpengaruh dengan aktiviti yang berkaitan riba tanpa kita sedari kerana kekurangan ilmu pengetahuan tentang bahaya riba yang telah diamalkan dalam kehidupan harian mereka turut memberi kesan di dunia dan juga di akhirat kelak. Sebagai mukmin yang sejati, mereka telah mempunyai sifat-sifat yang telah dijelaskan dalam Al-Quran bahawa mukmin sejati itu perlu melakukan segala perintah daripada Allah dan meninggalkan segala yang dilarang olehNya.

Jelas kesan riba dalam kehidupan adalah merupakan sesuatu benda yang perlu di ambil perhatian terutamanya umat Islam bagi menjadikan mereka menjadi mukmin yang sejati dan menjadikan akhlak yang ditonjolkan dalam kehidupan seharian boleh menarik orang bukan Islam mengenal agama Islam dan secara tidak langsung berdakwah demi menjaga kepentingan dan menegakkan agama Islam.

Antara kesan riba terhadap umat Islam yang perlu diketahui adalah seperti hilangnya keberkatan dalam rezeki yang diperoleh oleh mereka. Hal ini kerana dalam mendapatkan keberkatan dalam rezeki mestilah  juga mendapat keredaan daripada Allah. Bahaya riba memberi kesan yang sangat negatif dalam melahirkan atau menghasilkan mukmin yang sejati dalam dunia yang penuh cabaran pada masa kini. Dalam kesibukan mencari harta di dunia ini, sebagai mukmin sejati perlulah berhati-hati dengan kehadiran riba yang datang bersama dengan harta yang dimiliki. Mukmin sejati perlulah memastikan segala harta yang dimiliki di dunia ini terhindar daripada unsur-unsur riba agar di akhirat nanti mereka terlepas daripada perhitungan kerana memiliki harta yang haram semasa hidup di dunia.

Sebagai seorang mukmin sejati mereka perlu menjaga hubungan sesama manusia. Sekiranya kita berada dalam situasi yang dapat membantu orang lain yang kesempitan wang dengan memberikan mereka pinjaman agar dapat membantu meringankan masalah mereka. Kita perlu memastikan tiada unsur riba semasa kita memberikan pinjaman kepada orang lain termasuklah kepada orang bukan Muslim. Mukmin sejati perlulah memberikan masa kepada si peminjam wang itu agar mereka dapat melangsaikan hutang itu tanpa menetapkan sebarang syarat yang boleh memberikan kesan negatif kepada si peminjam. Jumlah pembayaran semula pinjaman juga tidak boleh ditambah kerana boleh membebankan si peminjam wang. Hal ini adalah sangat berkaitan dengan urusan yang mengandungi unsur-usur riba. Perkara seperti ini perlulah diambil perhatian kepada mukmin sejati semasa mereka membantu sesama manusia dalam menjaga hubungan sesama manusia. Mukmin sejati itu perlu menjaga hubungan sesama manusia bagi mendapat hidayah dan melakukan perkara yang mulia di sisi Allah.

Demi melahirkan mukmin sejati dalam kalangan umat Islam dapat menjadikan agama Islam sendiri sebagai agama yang sangat mementingkan umatnya menurut segala perintah daripada Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Hal yang berkaitan dengan riba perlulah diberikan perhatian dan kefahaman yang jelas dalam kalangan umat Islam agar benda yang dipandang biasa ini sebenarnya amatlah diberikan perhatian yang besar di sisi Allah bagi melahirkan mukmin sejati yang dikasihi olehNya.  

Kesimpulannya, dengan arus globalisasi yang mengejar pembangunan dalam segala aspek tidak akan terlepas dengan melahirkan suatu golongan yang akan dihormati dan disanjung. Oleh itu, umat Islam turut bersaing bersama arus globalisasi ini dengan melahirkan mukmin sejati dalam segala aspek termasuklah hal yang berkaitan di dunia dan akhirat demi mendapatkan mardhatillah.



RUJUKAN

Firdaus Shahidin. (2013). Harta Yang Menyeret Ke Neraka. Selangor: Must Read Sdn Bhd.

Hasanulddin Mohd, Zurita Mohd Yusoff, Norhafizah Mat Yusoff (2011). Sumbangan Kitab Risalah Fi Bayani Hukmi Al-Bai’i Wa Al-Riba Karangan Shaykh Abdul Qadir bin Abdul Rahim Bukit Bayas Kepada Koleksi Fiqh Melayu. Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari Jilid 4  
Mustofa Al-Khin, Mustofa Al-Bugho, Ali Asy-Syarbaji. (2009). Kitab Fikah Mazhab Syafie. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd
Nik Mohd Zaim Ab Rahim, Ishak Sulaiman, Munirah Abd Razzak. (2012). Kesempitan Hidup Penghutang: Analisis Ayat 280 Surah Al-Baqarah. Proceedings: The 2nd Annual International Qur’anic Conference 2012 ISBN 978-967-5534-20-1